Seorang pelajar lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh asramanya, di sini hari ini. Pada kejadian pukul 11.30 pagi, pelajar berusia 21 tahun itu ditemui dalam kedaaan terlentang di atas bumbung parkir kereta selepas dikatakan terjatuh menerusi tingkap biliknya. Sumber polis berkata berdasarkan maklumat rakan sebiliknya, siswa dari Pusat Pengajian Pengurusan itu berkelakuan tidak normal dan mengalami kemurungan sebelum kejadian.
"Pelajar itu dikatakan berada dalam keadaan histeria, kerap mandi dan berbogel di dalam biliknya," katanya kepada pemberita di sini semalam. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan beliau berkata pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. "Pelajar itu masih dalam keadaan separuh sedar dan tidak boleh bercakap. Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Gan berkata seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat enam Pangsapuri Desa Garden, Jalan Van Praagh semalam. Vincent Boo Kean Aun, 23, dikatakan bertengkar dengan teman wanitanya yang tinggal di tingkat satu pangsapuri yang sama sebelum mayatnya ditemui di halaman pangsapuri itu pada pukul 5.15 pagi. Beliau berkata lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama
Share Share entry ini di Facebook
1 comment :
bukan pusat pengajian pengurusan, tetapi ilmu pendidikan, selidik dahulu sebelum tuis / copy paste.
Post a Comment