Terengganu Juara SUKMA XV Pahang 2012? TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas sekali meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Pahang.
Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.
Pada edisi kali ini, Terengganu sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.
Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.
Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.
Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.
Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.
Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.
Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu. Tahniah sekali lagi kepada kontijen Terengganu!
Share Share entry ini di Facebook
No comments :
Post a Comment