Takziah buat keluarga adik Nurul Nadirah
dan semoga tabah menghadapi dugaan. Malam tadi, polis mengesahkan
penemuan serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit
Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu, adalah milik Nurul Nadirah atau panggilan manjanya, Dirang, yang hilang sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam,
Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu dibuat selepas
pihaknya menerima hasil keputusan ujian DNA ke atas serpihan rangka
manusia yang ditemui dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini.
“Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini,” katanya lagi.
Laporan Bernama memetik Roslan berkata,
walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa,
namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik
Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac. Katanya, faktor keadaan mayat
yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh
pihaknya.
Perkembangan terbaru itu sekaligus
menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan
hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11
pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar
Seri Alam.
Berikutan itu satu pasukan siasatan khas
telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi
menyelesaikan kes itu. Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak
termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu
mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa.
Hasil siasatan sebelum ini,
katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa
dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak
itu. Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes
tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang
hilang. Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan
dilanjutkan bagi membantu siasatan.
No comments :
Post a Comment