Sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan berhampiran KL Sentral, Kuala Lumpur terbakar kira-kira pukul 3.50 pagi Rabu, mengakibatkan jalan masuk ke KL Sentral dan Jalan Brickfield ditutup kepada lalu lintas.
Kebakaran bermula di tingkat atas bangunan berkenaan dan asap kebakaran boleh dilihat dalam jarak beberapa kilometer
Penolong Pengarah Bahagian Bomba Jabatan Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 3.53 pagi mengenai kebakaran tersebut dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
"Api bermula di tingkat ke-30 daripada bangunan 33 tingkat yang dijangka siap penghujung tahun ini.
"Kami mendapati sistem pencegah kebakaran yang dipasang gagal berfungsi," katanya.
Kira-kira 10 jentera bomba dan 72 anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran itu.
Polis turut memantau keadaan di tempat kejadian bagi memastikan lalu lintas menuju ke KL Sentral dan Jalan Brickfield terkawal.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, hanya Jalan Tun Sambanthan ditutup untuk lalu lintas.
Sumber dari polis memberitahu, laluan tersebut akan ditutup sehingga tengah hari ini.
No comments :
Post a Comment