Saturday, May 12, 2012

PESAWAT SUKHOI SUPERJET 100 TERHEMPAS DI TEBING CURAM GUNUNG SALAK BOGOR INDONESIA



JAKARTA - Cuaca buruk dan kesukaran untuk sampai ke tebing curam tempat pesawat buatan Russia jensi Sukhoi Superjet 100 terhempas Rabu lepas, memaksa pasukan mencari dan menyelamat menunda operasi mengeluarkan mangsa nahas itu ke pagi Jumaat.

Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Ketut Purwa berkata operasi terpaksa dihentikan petang ini akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada pukul 6 pagi esok.

"Cuaca tidak bagus, mendung, kabut dan banyak petir," kata Ketut Purwa di Pusat Operasi Desa Cipelang, Bogor, Jawa Barat hari ini.

Nasib 45 penumpang pesawat itu masih belum diketahui setelah pasukan penyelamat mengesan dari udara serpihan bangkai pesawat itu di tebing curam, Gunung Salak, Bogor, pagi ini.

Angka terbaru jumlah penumpang itu diumumkan oleh pihak berkuasa setelah syarikat ejen Sukhoi mengesahkan lima orang yang terdaftar dalam senarai 50 penumpangnya, tidak menaiki pesawat malang itu pada Rabu.

Belum dapat dipastikan sama ada kumpulan pertama pasukan penyelamat yang terdiri daripada 72  anggota telah sampai ke tempat kejadian lewat petang ini sebagaimana yang dijangkakan, namun cuaca gelap dan cerun curam menyulitkan usaha menyelamat pada hari ini.

Ketut Purwa berkata tempat kejadian di lereng gunung itu berada di ketinggian 5,800 kaki di atas paras laut.

Lapan warganegara Russia dari syarikat Sukhoi adalah antara penumpang pesawat itu selain warganegara Indonesia termasuk beberapa orang wartawan.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu, dilaporkan hilang sekitar pukul 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Sejurus sebelum itu juruterbang pesawat itu telah meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu dari ketinggian 10,000 kaki ke ketinggian 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa juruterbang itu bertindak sedemikian.     -- Bernama

Share Share entry ini di Facebook

No comments :