Pengacara tersasul Filipina milik China
BEIJING:
Seorang pembaca berita utama rangkaian televisyen milik kerajaan China
secara tidak sengaja mengumumkan bahawa Filipina adalah sebahagian
wilayah China, satu kejadian yang memalukan ketika hubungan kedua-dua
negara berada dalam keadaan tegang. Pembaca berita di stesen berita nasional Televisyen Pusat China, (CCTV), He Jia, membuat dakwaan itu ketika muncul dalam siaran lewat Isnin lalu dan ia kerap diulang tayang di internet.
Beliau mungkin mahu menyatakan kepulauan Huangyan dikenali di Filipina sebagai Beting Scarborough dan dituntut oleh kedua-dua negara, adalah wilayah China.
“Kita semua tahu Filipina sebahagian daripada wilayah China dan Filipina dimiliki oleh kedaulatan China, ini fakta yang tidak dapat dinafikan,” kata He dalam siaran yang tidak lagi disiarkan dalam laman web CCTV, tetapi boleh didapati di laman web lain.
Penonton kemudian membuat jenaka di laman sembang online dengan mengatakan semangat kebangsaan yang tinggi menyebabkannya membuat kesilapan itu.
“Wanita ini hebat dan berjiwa patriotik hingga mengumumkan kepada dunia Filipina milik China,” kata penulis mikroblog dikenali sebagai helenjhuang.
“Kita perlu terus lakukan serangan, tundukkan Presiden Filipina, Benigno Aquino hingga menyebabkannya keluar dari situ dan ambil balik hak kita.
Pegawai CCTV enggan memberi komen mengenai kesilapan He dan tidak menyatakan sama ada pihaknya akan memohon maaf.
Ketika memberi komen mengenai pertelingkahan wilayah dan pergerakan pemisah di Taiwan, Tibet, Xinjiang dan kawasan laut berjiran, diplomat China dan media secara rutin mendakwa lokasi itu sebagai ‘kawasan yang dimiliki China.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Luar China, Fu Ying, berkata Beijing bersedia membalas tindakan Filipina meningkatkan ketegangan maritim di Laut China Selatan, menjadi antara masalah terburuk membabitkan rantau itu yang kaya dengan simpanan gas dan minyak. – AFP
Share Share entry ini di Facebook
No comments :
Post a Comment