Thursday, April 12, 2012

Meninggal Dunia Ketika Bermain Badminton


Kegembiraan sepasang suami isteri meraikan cuti umum sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam bertukar tragedi apabila si suami meninggal dunia akibat serangan jantung semasa bermain badminton malam kelmarin.

Mangsa, Yeoh Chee Liang, 28, didapati meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di dewan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di sini.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, tiada sebarang tanda-tanda menunjukkan suaminya akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Dia yang turut menemani sepanjang suami bermain tidak menyangka keseronokan suami menghabiskan masa bermain badminton bersama rakan-rakan merupakan kenangan terakhir bersama mendiang.

“Sebaik sampai kira-kira jam 8 malam, Chee Liang memulakan permainan bersama rakan dan selesai bermain satu set sebelum berhenti rehat.

“Bagaimanapun, ketika sedang bermain di set kedua permainan, dia didapati terjatuh secara tiba-tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Rakan beregu, Chen Qiu Song, 28, berkata, ada antara kawan cuba memanggil dan menggerakkan badannya, tetapi tiada jawapan.

“Semasa sibuk memulakan set kedua, mangsa dilihat terjatuh. Kejadian berlaku begitu cepat dan keadaan cemas menyebabkan masing-masing tergamam,” katanya.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa sering menghabiskan masa dengan bermain badminton dan dilihat agak keletihan sebelum memulakan permainan.

Hasil perkahwinan mangsa dan isterinya Mac tahun lalu dikurniakan seorang anak perempuan berusia lapan bulan.-SINAR

Share Share entry ini di Facebook

No comments :