SHAH
ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran
perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika
kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi
pilihan raya bebas dan adil.
“Jika sekiranya tuntutan rakyat
kekal tidak didengari, kita sedia menganjurkan perhimpunan lebih besar
dengan jumlah berganda daripada Bersih 3.0 sehingga protes kita terhadap
kekotoran pilihan raya diterima.
“Kita mahukan perubahan kerajaan dalam keadaan aman dan matang
sebagaimana amalan negara-negara maju yang telah matang amalan
demokrasinya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Bersih 2.0 diadakan Julai lalu. Perhimpunan semalam adalah susulan
kepada Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Ia diadakan kira-kira sebulan selepas Dewan Rakyat meluluskan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Kenyataan hari ini dikeluarkan susulan perhimpunan Bersih 3.0 yang
diadakan di ibu negara semala, yang menarik ribuan peserta, tetapi
berakhir dengan insiden ganas.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, bagi pihak pimpinan
Pas, “saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh ahli dan
penyokong yang telah berjaya mengikut arahan pimpinan sehingga Bersih
3.0 berjaya diadakan dengan jayanya.”
Katanya, ahli-ahli Pas telah menunjukkan komitmen bersungguh, sehingga
jumlah yang ramai berjaya hadir dan bertugas dengan baik khususnya
anggota Unit Amal.
“Begitu juga rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang politik dan tidak berparti juga turut menjayakan,” katanya lagi.
Abdul Hadi berkata, beliau sempat berjalan bersama rakyat dan pimpinan
Pakatan Rakyat dari Masjid Negara hingga ke tengah bandar raya Kuala
Lumpur.
“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan moga semua yang menjayakan diberi ganjaran oleh ALLAH.
“Dalam masa yang sama saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada
rakan Pakatan Rakyat yang ikut serta dan NGO-NGO yang memulakan himpunan
sehingga tercapai kejayaan lebih besar daripada Bersih 2.0,” katanya
lagi.
Abdul Hadi menambah, pihaknya mahu kerajaan segera melakukan perubahan dalam demokrasi di Malaysia.
“Segera bersihkan daftar pemilih, bebaskan media dan lain-lain amalan demokrasi.
“Jangan tulikan telinga dengan protes besar rakyat kelmarin (semalam),” katanya lagi.
No comments :
Post a Comment