Belajar buat Baju Kurung & Melayu STEP-BY-STEP (Panduan Lengkap)

Belajar buat Baju Kurung & Melayu STEP-BY-STEP (Panduan Lengkap)

Saturday, May 25, 2013

TIPS & PANDUAN PERSEDIAAN SEBELUM ANDA MEMULAKAN PERNIAGAAN

 
 
Memulakan perniagaan merupakan suatu pengalaman yang amat menyeronokkan bagi setiap usahawan. Pengalaman tersebut pula berbeza mengikut tahap keinginan seseorang usahawan itu terhadap perniagaan yang bakal mereka usahakan.

Walaupun begitu, terdapat beberapa perkara yang patut anda pertimbangkan sebelum memasuki ke dunia perniagaan yang semestinya bakal menjanjikan pengalaman baru.

PERTAMA: Idea Perniagaan. Setiap perniagaan yang wujud pada hari ini adalah bermula dengan idea di atas kertas. Fikirkan idea bijaksana untuk perniagaan anda dan jangan lupa buat sedikit kertas kerja sebagai panduan untuk anda. Gunakan konsep cambahan idea menggunakan peta minda atau apa sahaja kaedah yang membolehkan anda mengeluarkan idea anda diatas kertas. Bawa idea anda berjumpa dengan kaum keluarga ataupun sahabat handai anda yang juga merupakan seorang usahawan. Jangan ceritakan idea tersebut secara terperinci, hanya ceritakan secara gambaran keseluruhan yang memungkinkan keluarga dan juga sahabat anda faham dan boleh memberikan pandangan terhadap perancangan anda. Jangan berkecil hati sekiranya ada di antara mereka memberi pandangan yang bertentangan atau mematahkan semangat anda. Hanya ambil pandangan mereka bagi membantu anda membuat keputusan berkaitan idea yang ingin anda laksanakan. Dapatkan gambaran lengkap dan maklumat tambahan berkaitan perniagaan yang ingin anda ceburi itu.

KEDUA: Modal Perniagaan. Perniagaan mana sekalipun walaupun mempunyai idea yang hebat, tetapi kekurangan modal permulaan akan membantutkan usaha untuk menjayakan perniagaan tersebut. Modal yang dimaksudkan di sini ialah modal minimum yang diperlukan setiap usahawan untuk memulakan usaha perniagaan mereka. Lain perniagaan, lain pula jumlah modal minimum yang diperlukan mereka. Modal permulaan sebaiknya dirancang seminimum mungkin dengan menggunakan duit sendiri dan bukannya dipinjam. Pada hari ini terdapat pelbagai cara untuk merancang modal permulaan pada tahap paling minimum.

KETIGA: Kenalpasti Golongan Sasar. Berniaga tanpa mengenal golongan sasar samalah dengan memanah tanpa sasaran atau memandu tanpa tujuan. Setelah anda betul-betul mengenalpasti golongan sasar, barulah mudah anda merancang apakah kaedah pemasaran dan promosi yang sesuai perlu anda lakukan untuk sampai kepada golongan sasar anda. Anda perlu mempunyai jatidiri dalam perniagaan dan jangan terikut-ikut dengan peniaga lain yang cenderung untuk menggunakan kaedah perang harga.

KEEMPAT: Kenalpasti Jenis Perniagaan. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis perniagaan yang dibenarkan untuk ditubuhkan oleh para usahawan seperti jenis milikan tunggal (sole proprietors), perkongsian (partnership), syarikat sdn bhd dan berhad. Jenis perniagaan milikan tunggal dan perkongsian merupakan jenis yang mudah diuruskan dan murah. Ianya sesuai untuk usahawan yang ingin menjalankan perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar dan mempunyai risiko yang rendah. Jenis syarikat seperti sdn bhd dan berhad pula ialah jenis yang mempunyai modal saham serta mempunyai peruntukan undang-undang tersendiri yang membezakan diantara syarikat dan pemiliknya. Ianya sesuai untuk usahawan yang menjalankan perniagaan bermodal besar dan mempunyai risiko yang tinggi. Walaubagaimanapun, kedua-dua jenis yang disebut diatas mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri.

KELIMA: Kehendak Untuk Berjaya. Akhir sekali anda perlu betul-betul sedar dan faham kenapa anda memilih untuk menjadi seorang usahawan dan bukannya seorang yang makan gaji ?? Sebaiknya anda tulis sebab-sebab tersebut dan letakkannya ditempat yang mudah dilihat. Pastikan anda menulis sebab-sebab yang benar-benar kukuh dan keinginan tersebut sama sekali tidak boleh ditukar ganti dengan tawaran bekerja dengan gaji yang menarik. Ini penting kerana suatu hari nanti semangat anda pasti akan teruji. Ketika itu, anda hanya perlu melihat kembali sebab-sebab yang telah anda tuliskan sebelum anda memulakan perniagaan tersebut.

Perkara-perkara yang dinyatakan diatas hanyalah merupakan pandangan penulis berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Ianya mungkin berbeza dengan usahawan yang lain. Namun, satu perkara yang secara jelas dipersetujui oleh ramai usahawan yang telah berjaya ialah CUBA, TERUS MENCUBA dan JANGAN BERPUTUS ASA. Segala idea perniagaan yang dirancang jikalau ianya berjaya buat pertama kali anda mencubanya merupakan suatu bonus buat anda. Sekiranya ia gagal, anda perlu tahu ia adalah sesuatu yang normal. Apa yang paling penting ialah buat pembaikan secara berterusan dan mencubanya semula sehingga anda berjaya.


Share Share entry ini di Facebook

No comments :